March 22, 2010

DUNIA KONTEMPORARI MUDA


Pagi tadi, bicara kosong berlagu di satu sudut kedai mamak. Sambil menghirup kopi panas kami berbual.Aku toleh kanan. Meja situ ada satu keluarga. Bahagia barangkali. Pakaian mcm baru balik joging.

Si bapa tekun membelek telefon, si ibu sibuk memecah telur rebus separa masak. Si anak, dalam lingkungan 10 tahun, khusyuk membaca suratkahabar. Membaca itu bagus. Tapi apa yang menarik aku utk menulis adalah bahan bacaannya. Bukan buku motivasi , ianya senaskah suratkhabar tabloid yang pembacanya mencecah jutaan angka hari ini, ‘Harian Metro’.Terdetik hati, keadaan bagaimana generasi ini nanti apabila minda mula dibentuk dengan bahan bacaan sebegini sejak kecil. A. Kadir Jasin ada menyifatkan bahan bacaan ini sebagai ‘Dunia Kontemporari Muda’. Jelas relevannya.

Pendapat aku, Dunia Kontemporari Muda disalut oleh penulis baru dengan idealisme baru melalui mekanisme baru, menghidangkan masyarakat dengan alunan cerita yang dramatik. Dimana inputnya? Di mana pemangkinnya? Di mana letaknya tanggungjawab mereka? Selain mengagung keuntungan tanpa memandang tahap pemikiran bangsa. Laungan angin kosong kuat menyeru rakyat itu ini, hatta mereka hidup kaya raya, kedudukan rakyat apa yang lebihnya?

Sejak 2003, mereka resah keuntungan merosot. Mereka gelisah kerana semuanya dilarikan oleh Harian Metro. Ada mereka kesah suapan minda rakyat?. Mungkin 10 tahun dulu aku dipaksa membaca benda yg aku tak suka.Buku sekolah yg helaian mukasuratnya dah kembang. Tapi aku bersyukur kerana tika itu belum kencang revolusi yang namanya Harian Metro seperti hari ini. Ayah tak hidangkan aku dengan suratkhabar Utusan yang dia baca, Ayah juga tak belikan aku News Strait Times tiap hari. Cuma dia sekolahkan aku untuk jadikan aku lebih tahu menilai dan berfikir.

Malaysia sekarang jauh jaraknya jika hendak dibandingkan dengan Malaysia 50 thn dulu. Itu pasti. Lebih pasti, jurang ini boleh disama ertikan dengan jurang kemiskinan di antara orang kaya dan rakyat miskin yang ada pada hari ini, dimana lebih luas jaraknya berbanding sebelum DEB (Dasar Ekonomi Baru) dilaksanakan. Salahnya dimana? Masalah rakyat di desa dan kampung, siapa yang peduli? Apa yang mereka tahu, menghamburkan berita sensasi mengkhayalkan rakyat lalu selimut pekung sendiri. Hak rakyat dipinggir tanpa sedar. Bagi mereka yang leka, terus enak melayan tiupan angin yang datang dari tempat pelupusan sampah yang berlindung sebalik tembok tinggi.

Kembali ke 1957, Malaysia cemerlang lebih dari Korea. Itu pun hasil saki baki superstruktur yang ditinggalkan oleh British. Tapi hari ini? Korea adalah negara industri yang hebat di dunia, monopoli apa saja industri. Ya, mereka homogin. Pentingkan nasib bangsa sendiri. Kita?...
Aku bicara hal Dunia Kotemporari Muda ini bukan hanya satu. Ribuan lagi lambakan pil khayal’ ini dilelong murah kepada rakyat. Kita yang celik ini bukannya buta. Sedar . Cuma apa yang mampu kita lakukan selain melihat selama mana pil-pil ini mampu bernafas. Ingat, kita punya kuasa. Perlakuan kita adalah nadi mereka.
Bergantung atas kita sepenuhnya.

No comments:

Post a Comment